TUJUAN PENUBUHAN PUSAT PEDAGOGI, PENYELIDIKAN DAN INOVASI (CPRI)

Lembaga Pengurusan Universiti (LPU) telah meluluskan  cadangan penubuhan Centre of Pedagogical Research and Innovation (CPRI) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Pusat ini yang berteraskan pedagogi UPSI akan digunakan oleh peserta-peserta kursus dalam kalangan pelajar dan orang awam, merangkumi agensi kerajaan dan swasta. Selain itu, penyelidikan dan perundingan dalam bidang Pedagogi juga dilaksanakan di pusat ini. CPRI ini dijangka akan mula beroperasi di bilik yang dikenali sebagai bilik Mikro Teaching 1, tingkat 3, Blok 9, Kampus Sultan Azlan Shah,
UPSI.

LATAR BELAKANG

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sentiasa komited dalam merealisasikan teras utama universiti iaitu untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di semua peringkat pendidikan dan dalam pelbagai disiplin ilmu. Bagi mencapai hasrat tersebut, UPSI perlu menyediakan kemudahan-kemudahan yang terkini dan terkehadapan seterusnya menjadi model kepada institusi pendidikan lain sejajar dengan motto ‘UPSI Universiti No. 1 Pendidikan’. CPRI menekankan kepada pedagogi dan teknologi untuk semua bidang pendidikan iaitu STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics), Sains Kemanusiaan, Bahasa dan Khas.

Selaras dengan Pedagogi UPSI yang ingin memenuhi hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, maka UPSI menyahut cabaran ini dengan mewujudkan CPRI. Kewujudan pusat seperti ini diyakini dapat menyumbang kepada pemerolehan pengalaman bermakna yang sangat berharga kepada para pendidik, peserta-peserta kursus, penyelidik dan perunding dalam bidang Pedagogi yang terdiri dalam kalangan pelajar dan orang awam, merangkumi agensi kerajaan dan swasta. Selain itu, pusat ini juga menekankan kepada pengaplikasian pengetahuan, kemahiran dan nilai pendidikan masa kini yang menekankan pembelajaran abad ke 21 bagi menangani isu-isu masa kini. Pembinaan Pusat ini turut menyahut cabaran Kementerian Pendidikan Malaysia dalam aspek melahirkan generasi 4.0 dan bertepatan dengan teras 4 Transformasi Keguruan dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025), Sektor Pengurusan Pengajian Tinggi serta merealisasi UPSI universiti No 1 Pendidikan.

Secara umumnya penubuhan CPRI mengambil kira Pedagogi UPSI yang unik dan berkualiti tinggi. Berfungsi dalam aspek 3R (Refered, respected and relevant) UPSI. Empat kluster utama menjadikan tumpuan dalam pusat ini selaras dengan bidang yang terdapat di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Bermula dari sebuah bilik berasaskan sekolah yang memenuhi kapasiti murid seramai 25 orang dengan keluasan 30 x 20 kaki, akan dijadikan satu pulau dalam pusat tersebut untuk aktiviti pembelajaran yang dikendalikan oleh pakar-pakar dalam pelbagai bidang pengajaran dan pembelajaran. Manakala kawasan lain mempunyai fungsi tersendiri yang
menyokong kepada pelaksanaan pedagogi dan penggunaan teknologi pada pusat tersebut. Selain itu pusat ini akan menyediakan khidmat perundingan, mengumpul koleksi inovasi dan menerbit serta mengumpul sumber bacaan dan rujukan terkini dalam bidang pembelajaran dan pengajaran.

Empat kluster yang dimaksudkan yang menjadi tumpuan dalam penubuhan Pusat Kecemerlangan Pedagogi ini ialah Kluster Pedagogi STEM, Kluster Pedagogi kemanusiaan, Kluster Pedagogi Bahasa dan akhir sekali Kluster Pedagogi Khas. Kluster Pedagogi STEM melibatkan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik yang didalamnya terkandung semua mata pelajaran sains, sains gunaan, teknologi, vokasional dan matematik. Kluster Pedagogi Kemanusiaan terdiri daripada mata pelajaran bidang kemanusian, Sastera Ikhtisas dan Pengajian Islam. Kluster Bahasa melibatkan semua bahasa yang ditawarkan di KPM. Manakala Kluster Khas pula melibatkan pendidikan Vakasional, Orang Asli, Awal Kanak-kanak, Pendidikan Khas, Gelandangan, Sekolah dalam Hospital dan lain-lain.